Permohonan pinjaman bank ditolak kerana rekod CCRIS bermasalah, simpanan KWSP tidak mencukupi dan pekerjaan sebagai rider. Dalam keadaan terdesak, si peminjam memohon bantuan daripada keluarga dan rakan sebagai pilihan terakhir.
Atas dasar persahabatan dan kepercayaan, si pemberi pinjam tampil membantu. Namun, apabila bayaran sering tertangguh dan tuntutan diabaikan, kepercayaan mula terhakis hingga akhirnya mencetuskan konflik antara kedua-dua pihak.
Apa Itu Pinjaman Persahabatan @ Friendly Loan
Pinjaman Persahabatan merujuk kepada pinjaman antara dua pihak yang dibuat atas dasar kepercayaan, di mana pemberi pinjam bukan institusi kewangan berlesen. Walaupun tiada definisi khusus dalam undang-undang Malaysia, tafsirannya diambil daripada kes-kes yang diputuskan oleh mahkamah, seperti dalam kes Tan Aik Teck v. Tang Soon Chye [2007] 2 MLRA 58, di mana hakim Mahkamah Rayuan, Mokhtar Sidin menjelaskan bahawa pinjaman persahabatan bertentangan dengan pinjaman wang daripada pemberi pinjaman wang yang berlesan atau institusi kewangan yang melibatkan kadar bunga yang membebankan. Pinjaman persahabatan adalah pinjaman di antara dua orang yang berasaskan kepercayaan.
Siapa Yang Terlibat
Pinjaman jenis ini boleh dibuat antara rakan, ahli keluarga, suami isteri, atau sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan berasaskan kepercayaan. Kadangkala hanya janji atau I.O.U (yang bermaksud “saya berhutang kepada kamu”) atau jaminan yang dijanjikan untuk pembayaran balik antara pemberi dan penerima pinjaman menjadi sandaran.
Adakah pinjaman wang kepada kawan boleh dituntut?
Pinjaman persahabatan sering dibuat secara santai, tanpa perjanjian bertulis, atas dasar kepercayaan semata-mata. Pinjaman persahabatan tanpa perjanjian bertulis tetap sah dan boleh dikuatkuasakan. Ini kerana peminjam boleh dianggap menerima manfaat secara tidak adil jika enggan membayar balik pinjaman dan pemberi pinjaman mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut “hutang persahabatan tersebut”.
Masalah Utama Pinjaman Persahabatan Tanpa Perjanjian Bertulis:
- Menyukarkan Tuntutan:Tanpa dokumen hitam putih, adalah sukar untuk membuktikan wujudnya perjanjian pinjaman yang sah. Wang yang diberi boleh dianggap sebagai hadiah jika tiada bukti kukuh. Peluang untuk berjaya dalam tuntutan menjadi lebih rendah.
- Beban bukti di pihak pemberi pinjam: Pemberi pinjam perlu mengemukakan rekod transaksi, mesej, atau saksi untuk menyokong tuntutan.
- Risiko Peminjam Ingkar:Peminjam mungkin menafikan pinjaman atau kelewatan pembayaran kerana tiada dokumen mengikat.
- Tiada Cagaran:Kesukaran untuk menuntut ganti rugi jika berlaku kemungkiran janji.
- Masa dan kos meningkat: Proses menuntut hutang tanpa bukti jelas biasanya lebih lama dan memenatkan.
- Risiko Undang-Undang (Ah Long):Pemberi pinjam berisiko melanggar Akta Pinjam Wang 1951. Pemberi pinjam tidak berlesen yang mengugut peminjam boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, dengan denda RM50,000-RM250,000 atau penjara.
- Hubungan terjejas: Pertikaian hutang sering membawa kepada konflik emosi dan memutuskan hubungan.
Oleh itu, Pentingnya Perjanjian Pinjaman Persahabatan
Memberi pinjaman kepada rakan atau ahli keluarga sememangnya melibatkan risiko yang lebih tinggi kerana ketiadaan sistem yang jelas untuk mengawal urusan dan pengaruh hubungan antara pemberi dan penerima pinjaman. Untuk memastikan hak dan kepentingan kedua-dua pihak dilindungi, adalah penting untuk sentiasa membuat perjanjian bertulis, terutamanya jika melibatkan nilai pinjaman yang besar.
Perkara yang perlu ada dalam perjanjian persahabatan:
- Maklumat pihak terlibat – Nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat pemberi dan penerima pinjaman
- Jumlah pinjaman
- Tempoh dan jadual bayaran balik pinjaman
- Kaedah bayaran balik – secara bayaran tunai, cek atau pindahan bank
- Kadar faedah/keuntungan (jika ada)
- Kadar denda lewat bayar, ganti rugi dan hak membuat tuntutan melalui mahkamah atau mengambil tindakan undang-undang sekiranya gagal bayar
- Cagaran atau jaminan keselamatan seperti kenderaan, emas, geran tanah (jika ada)
- Senarai penjamin (jika ada)
- Terma perjanjian sekiranya berlaku kematian – waris peminjam perlu selesaikan baki jumlah pinjaman dan tunggakan hutang
- Tandatangan saksi
- Perjanjian perlu disetem untuk diterima sebagai keterangan bukti di mahkamah.
Tapi, bolehkah faedah dikenakan dalam pinjaman persahabatan?
Secara asasnya, tiada sebarang faedah atau bunga boleh dikenakan ke atas jumlah pinjaman dalam perjanjian persahabatan. Hal ini kerana hanya pemberi pinjaman wang yang berlesen dan menjalankan perniagaan pinjaman wang yang didaftarkan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 sahaja dibenarkan mengenakan faedah atas wang pinjaman.
Di bawah akta tersebut, kadar faedah yang dibenarkan adalah seperti berikut:
- Pinjaman tidak bercagar: tidak melebihi 18% setahun; dan
- Pinjaman bercagar: tidak melebihi 12% setahun.
Mana-mana pihak yang didapati menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen, boleh dikenakan denda RM250,000 sehingga RM1 juta, atau penjara tidak melebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kadar faedah yang dibenarkan dalam pinjaman persahabatan:-
- Kadar faedah yang berpatutan dan tidak melebihi kadar faedah dalam Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. Contohnya dalam kes Menta Construction Sdn Bhd v SPM Property & Management Sdn Bhd [2017] MLJU 526, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan untuk kadar faedah 8.8% setahun seperti yang dipersetujui dalam perjanjian, tetapi sebaliknya menetapkan kadar faedah yang sederhana iaitu 5% setahun.
- Kadar faedah lewat bayar atau penalti yang tidak berlebihan dibenarkan seperti dijelaskan oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam kes Muhibbah Teguh Sdn Bhd v. Yaacob Mat Yim [2005] 4 CLJ 853.
- Kadar faedah tidak bertujuan untuk kegiatan perniagaan pinjaman wang
- Tiada keuntungan yang diperolehi seperti dalam perniagaan pinjaman wang berlesen
- Tidak boleh menunggu sehingga faedah digabungkan menjadi jumlah yang besar sebelum memulakan tuntutan di mahkamah
Oleh itu, penting untuk pastikan perjanjian persahabatan tidak mempunyai unsur perniagaan pinjaman wang yang melanggar Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, sekiranya pinjaman itu diklasifikasikan sebagai illegal moneylending, pemberi pinjam bukan sahaja berdepan risiko tindakan undang-undang, malah wang yang dipinjamkan juga mungkin tidak dapat diperolehi semula melalui tuntutan mahkamah di bawah Seksyen 66 Akta Kontrak 1950.
Apa Perlu Perlu Jika Sahabat Lari Dan Gagal Bayar Pinjaman
- Jangan Tunggu Sampai Terlepas Tempoh!
Tuntutan bagi mendapatkan semula bayaran pinjaman hendaklah dibuat dalam tempoh enam (6) tahun berdasarkan keadaan berikut:
- Ada tarikh bayaran balik – tempoh enam (6) tahun dikira dari tarikh bayaran balik yang dinyatakan dalam perjanjian.
- Tiada tarikh bayaran balik, khususnya dalam situasi pinjaman persahabatan tanpa perjanjian bertulis – tempoh enam (6) tahun lazimnya dikira dari tarikh peminjam menerima wang pinjaman atau dari tarikh perjanjian pinjaman persahabatan
Oleh itu, adalah amat penting bagi pemberi dan penerima pinjaman untuk menetapkan serta merekodkan dengan jelas:
- tarikh bayaran balik pinjaman;
- tarikh pemberian dan penerimaan wang; dan
- tarikh perjanjian pinjaman
Jika tidak, pemberi pinjaman terutamanya akan kehilangan hak untuk mendapatkan semula wang pinjaman.
- Kumpulkan semua rekod dan bukit berkaitan pinjaman
Ada atau tiada perjanjian pinjaman persahabatan, pemberi dan penerima pinjaman wajib menyimpan segala rekod pembayaran, komunikasi melalui telefon, Whatapp, atau email, gambar dan video, saksi dan semua dokumen yang berkaitan dengan perjanjian pinjaman.
- Mulakan Tuntutan Balik Pinjaman
- Mahkamah Tuntutan Kecil (Tuntutan bawah RM5,000)
- Tidak memerlukan oleh peguam dan kurang kos guaman
- Failkan Borang 198 di kaunter Mahkamah Majistret berhampiran
- Kos pemfailan adalah rendah, biasanya sekitar RM20
- Pemohon memberikan salinan borang yang dimeterai kepada peminjam
- Perbicaraan di mahkamah
- Keputusan mahkamah adalah muktamad dan mengikat, walaupun rayuan terhad boleh dibuat dalam keadaan tertentu.
- Mahkamah Sivil
| Mahkamah | Tuntutan Minimum (RM) | Tuntutan Maximum (RM) |
| Majistret | – | 100,000.00 |
| Seksyen | 100,001.00 | 1,000,000.00 |
| Tinggi | Melebihi 1,000,000 | Tidak terhad |
- melantik peguam untuk failkan tuntutan di mahkamah
- melibatkan kos pemfailan dan kos guaman
- melalui tempoh prosiding mahkamah yang berkenaan
- Perbicaraan di mahkamah yang berkenaan
- Keputusan dikeluarkan oleh mahkamah yang berkenaan
(iii) Arbitrasi
- proses di mana pihak ketiga yang neutral, dikenali sebagai arbitrator, buat keputusan tentang pertikaian.
- kos lebih murah berbanding mahkamah
- Rundingan dan arbitrasi kurang formal berbanding proses mahkamah membolehkan kedua-dua pihak berinteraksi dalam suasana yang lebih santai dan kurang tekanan.
- Penyelesaian yang lebih cepat
- Keputusan arbitrator muktamad dan mengikat kedua-dua pihak
(iv) Prosiding Pelaksanaan – peminjam masih gagal bayar selepas keputusan mahkamah
- Prosiding kebankrapan atau penggulungan ke atas peminjam
- Writ penyitaan dan penjualan untuk mendapatkan pampasan melalui penjualan aset seperti kereta / harta benda
- Prosiding Garnisi yang melibatkan pembekuan akuan bank
PENUTUP – Pinjaman persahabatan Jangan Ambil Mudah
Hutang adalah sebahagian daripada kehidupan. Sama ada dengan bank, sahabat, atau ahli keluarga, sukar untuk kita lari daripada hutang sepenuhnya. Hutang itu sendiri bukanlah jenayah atau kesalahan agama, selagi ia diurus mengikut garis panduan yang betul.
Hutang hanyalah alat, bukan matlamat. Apa yang menentukan pengurusan kewangan kita baik atau tidak adalah cara kita mengurus hutang itu. Belajar ilmu mengurus hutang, kawal perbelanjaan, dan tingkatkan pendapatan adalah sangat penting. Malangnya, ramai yang mengabaikannya, tetapi masih mahu hidup mewah, berhutang, dan melabur tanpa ilmu yang mencukupi – akhirnya risiko muflis semakin tinggi.
Sebelum membuat sebarang transaksi pinjaman atau melibatkan harta tak alih, dapatkan khidmat peguam yang dipercayai. Dokumentasi yang lengkap dan jelas adalah kunci untuk melindungi hak semua pihak dan mengelakkan masalah yang tidak dijangka.




