Di Malaysia, pembeli rumah pertama yang memenuhi syarat-syarat tertentu layak mendapat pengecualian duti setem. Tujuan utama pengecualian ini adalah untuk meringankan beban pembeli rumah pertama dan memberikan insentif kepada mereka yang membeli rumah untuk kali pertama.
Pengecualian Duti Setem Bagi Pembelian Rumah Pertama
Berikut adalah beberapa syarat umum yang biasanya dikenakan untuk kelayakan pengecualian duti setem:
1. Rumah Pertama: Pembeli mesti membeli rumah pertama mereka dan tidak pernah memiliki hartanah lain sebelum ini termasuklah pemilikan melalui pewarisan harta-pusaka.
2. Harga Rumah: Pengecualian ini hanya terpakai bagi rumah dengan harga tertentu. Bagi pengecualian yang terkini, iaitu di bawah P.U.(A) 53/2021 & P.U.(A) 54/2021, di mana nilai jual-beli rumah tersebut mestilah RM500,000 dan ke bawah sahaja. Walaubagaimanapun, harus diingatkan bahawa pengecualian dibawah P.U.(A) 53/2021 & P.U.(A) 54/2021 hanya terpakai sehingga tarikh 31.12.2025 sahaja (bergantung kepada dasar dan perubahan undang-undang semasa).
3. Individu: Hanya individu sahaja yang layak menerima pengecualian ini, bukan syarikat atau entiti perniagaan lain.
4. Jenis Rumah: Rumah yang dibeli mestilah berstatus kediaman, bukan hartanah komersial atau seumpamanya.
Bagi rumah kediaman yang melebihi harga RM500,000, pembeli akan dikenakan duti setem berdasarkan kadar yang ditetapkan untuk harga yang melebihi RM500,000. Namun, syarat dan kadar pengecualian ini boleh berubah mengikut dasar kerajaan dari semasa ke semasa. Oleh itu, adalah penting untuk memeriksa peraturan terkini atau mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti atau peguam hartanah.