Rumah masih sama, tetapi pinjaman boleh jadi lebih ringan. Bagaimana dan apa caranya?
Pembiayaan semula pinjaman perumahan memberi peluang kepada anda untuk menstruktur semula pinjaman sedia ada kepada kadar pembiayaan yang lebih kompetitif, sekali gus mengurangkan bayaran bulanan yang membebankan. Dengan komitmen yang lebih rendah, anda boleh menikmati aliran tunai yang lebih stabil untuk keperluan harian, simpanan masa depan, atau perancangan keluarga.
Melalui pembiayaan semula, anda juga boleh memaksimumkan potensi nilai hartanah yang dimiliki tanpa perlu melepaskan aset berharga tersebut. Ia memberi lebih banyak ruang dan fleksibiliti kewangan, membantu anda membuat perancangan dengan lebih teratur, yakin, dan tenang untuk jangka masa panjang.
Apa itu Pembiayaan Semula Pinjaman Rumah?
Pembiayaan semula pinjaman perumahan merujuk kepada proses penukaran pinjaman dengan institusi kewangan sedia ada kepada pinjaman yang baharu, kebiasaannya dari institusi yang berbeza, bagi mendapatkan manfaat dari segi kadar faedah yang lebih rendah serta terma dan syarat yang lebih baik. Ramai pemilik rumah di Malaysia mempertimbangkan untuk membuat pembiayaan semula demi mencapai pelbagai objektif kewangan seperti mengurangkan komitmen bayaran bulanan, menggabungkan hutang, atau membiayai pengubahsuaian rumah.
Manfaat Pembiayaan Semula Pinjaman Rumah
- Kadar Faedah yang Lebih Rendah: Antara sebab utama pemilik rumah memilih untuk membuat pembiayaan semula adalah untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah. Penurunan kadar faedah, biarpun sedikit, mampu membawa kepada penjimatan yang lebih besar sepanjang tempoh pinjaman.
- Pengurangan Bayaran Bulanan: Dengan membuat pembiayaan semula kepada kadar faedah yang lebih rendah, pemilik rumah dapat menurunkan komitmen bayaran bulanan mereka kepada pembiaya sekaligus dapat meringankan beban kewangan.
- Mengakses Nilai Ekuiti Rumah: Pembiayaan semula membolehkan pemilik rumah untuk memanfaatkan ekuiti rumah mereka, seperti menyediakan dana untuk kecemasan, pelaburan, atau pengubahsuaian. Ini sangat bermanfaat untuk pemilik rumah yang nilai hartanah rumah mereka telah meningkat sejak mereka membelinya. Gunakan lebihan nilai rumah untuk tujuan ubahsuai dan baiki rumah sekaligus dapat menaikkan nilai rumah tersebut di masa hadapan.
- Menggabungkan Hutang: Pemilik rumah dengan hutang berfaedah tinggi, seperti kad kredit atau pinjaman peribadi, boleh membuat pembiayaan semula untuk menggabungkan hutang tersebut menjadi satu pembayaran bulanan dengan faedah yang lebih rendah.
- Menukar Jenis Pinjaman: Pembiayaan semula membolehkan pemilik rumah menukar dari kadar faedah terapung ke kadar tetap, atau sebaliknya. Sebagai contoh, pemilik inginkan kestabilan dalam komitmen bayaran bulanan, jadi kadar faedah tetap adalah pilihan yang terbaik. Namun, perkara ini bergantung kepada keutamaan pemilik rumah, situasi kewangsan serta keadaan pasaran.
- Memperbaiki Tempoh Pinjaman: Pembiayaan semula mampu menawarkan tempoh pinjaman yang lebih baik, sama ada lebih penjang atau pendek, serta pilihan pembayaran balik yang lebih bagus, selaras dengan matlamat kewangan pemilik rumah
- Memperbaiki Keadaan Kewangan: Perubahan keadaan kewangan yang mendadak atau ketara boleh berpunca daripada banyak perkara seperti kehilangan pekerjaan atau mempunyai anak. Kebaikan mempunyai rumah adalah pemilik rumah boleh melakukan pembiayaan semula agar lebih sesuai dengan keperluan dan keadaan semasa mereka.
Proses Pembiayaan Semula di Malaysia
Secara umumnya, proses pembiayaan semula pinjaman perumahan di Malaysia melibatkan beberapa langkah penting yang perlu difahami oleh peminjam. Ia bukan sahaja bertujuan untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah atau bayaran bulanan yang lebih ringan, tetapi juga memastikan proses berjalan lancar, selamat, dan bebas daripada risiko. Setiap langkah dalam proses ini memainkan peranan penting—dari semakan dokumen dan penilaian pinjaman sedia ada, hingga pengiraan semula jumlah baki hutang dan kadar faedah baru. Dengan memahami proses ini secara menyeluruh, peminjam boleh membuat keputusan yang lebih bijak dan mengurus kewangan rumah dengan lebih tersusun.
Proses pembiayaan semula pinjaman perumahan di Malaysia melibatkan beberapa langkah seperti di bawah:
- Menilai Situasi Kewangan Anda: Sebelum membuat pembiayaan semula, perkara penting yang perlu anda lakukan adalah menyemak dan menilai terma pinjaman semasa, jumlah baki tertunggak serta situasi kewangan anda. Tentukan matlamat anda untuk membuat pembiayaan semula, sama ada ia berbaloi dan menguntungkan atau tidak.
- Membuat Perbandingan Bagi Produk yang Ditawarkan: Membuat senarai bank atau institusi kewangan yang anda berminat dan buat penyelidikan awal bagi produk-produk yang ditawarkan oleh bank/institusi tersebut. Antara perkara yang anda perlu pertimbangkan adalah seperti kadar faedah yang kompetitif, terma dan syarat pinjaman, serta yuran yang berkaitan (jika ada). Anda boleh dapatkan maklumat tersebut melalui laman web rasmi institusi tersebut.
- Mengira Kos dan Penjimatan: Ramai yang tidak sedar bahawa pembiayaan semula juga akan datang dengan kos-kos lain seperti yuran guaman, yuran penilaian, dan yuran pemprosesan. Anda perlu membuat pengiraan awal untuk menentukan sama ada pembiayaan semula boleh menawarkan penjimatan di samping mengatasi kos-kos yang disebutkan. Adalah lebih baik jika nilai yang akan dikeluarkan adalah lebih rendah daripada jumlah kadar bayaran bulanan semasa.
- Menyediakan Dokumen: Kumpulkan dokumen yang diperlukan, termasuk slip gaji, penyata bank, dan dokumen pinjaman berkaitan rumah tersebut. Pembiaya mungkin juga memerlukan laporan kredit (CCRIS) untuk menilai kelayakan kredit anda.
- Memohon Pinjaman Baru: Setelah membuat pilihan bank/institusi yang diinginkan, anda boleh menghantar permohonan untuk membuat pembiayaan semula perumahan kepada bank/institusi tersebut. Mereka akan memproses permohonan serta mengkaji status kewangan, sejarah kredit, serta nilai harta anda.
- Kelulusan Pinjaman dan Proses Perundangan: Sekiranya diluluskan, bank/institusi (pembiaya baharu) tersebut akan mengeluarkan surat tawaran yang menggariskan terma dan syarat pinjaman. Anda disarankan untuk membaca dan memahami surat tawaran tersebut serta bertanya soalan jika syarat yang dinyatakan kurang jelas pada kefahaman anda. Manakala berkaitan urusan dokumentasi pinjaman, anda perlu melantik peguam bagi menguruskan dokumentasi tesebut dengan pembiaya.
- Menyelesaikan Pinjaman Sedia Ada: Setelah anda menandatangani dokumen pinjaman dengan pembiaya yang baharu, mereka akan memerlukan beberapa lagi surat dan dokumen daripada pembiaya semasa anda seperti penyata tebus hutang serta surat akujanji (akan diuruskan oleh peguam). Sekiranya semua dokumen telah lengkap, peguam akan menasihati pembiaya baharu untuk mengeluarkan duit bagi tujuan menebus hutang anda dengan pembiaya sedia ada. Peguam akan memaklumkan kepada anda sekiranya hutang telah ditebus dan anda boleh rujuk dengan cawangan berdekatan untuk urusan berkaitan bayaran bulanan dengan pembiaya baharu.
Anda juga boleh semak kenapa anda perlu kepada proses pembiayaan semula di sini : Why You Should Refinance Your Home Loan, And How To Do It
Kesimpulan
Pembiayaan semula pinjaman perumahan di Malaysia boleh menjadi pilihan terbaik bagi pemilik rumah yang ingin meningkatkan keadaan kewangan mereka. Dengan memahami manfaat, proses, dan pertimbangan yang berkaitan dengan pembiayaan semula, pemilik rumah dapat membuat keputusan yang bijak dan selaras dengan matlamat kewangan mereka. Pembiayaan semula dapat memberikan lebih banyak kebaikan dan kelebihan jika didekati secara strategik dan berhemah, seperti mengurangkan pembayaran bulanan, mengakses nilai ekuiti rumah, atau menggabungkan hutang.
Jika anda sedang mempertimbangkan untuk membuat pembiayaan semula, luangkan sedikit masa untuk melakukan penyelidikan dan berunding dengan penasihat kewangan atau profesional bagi memastikan anda membuat keputusan yang terbaik untuk keadaan anda. Pembiayaan semula boleh membuka peluang kewangan baru, menjadikannya pertimbangan yang berbaloi bagi ramai pemilik rumah di Malaysia.
Kami di Jamaliyah Hidayah & Co sedia membantu anda dari A hingga Z – dari semakan dokumen hingga hak & tanggungjawab anda sebagai peminjam.
📞 Hubungi kami sekarang untuk konsultasi yang jelas, mudah, dan tanpa risiko!


