Penting! Ketahui 3 jenis Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney) Dalam Urusan Hartanah di Semenanjung Malaysia

Power of Attorney

Pernahkah anda dengar perkataan “Power of Attorney” atau Surat Kuasa Wakil?

Mungkin ada antara anda yang yang pernah membeli rumah dan mengambil pinjaman dengan Bank. Samada perasan atau tidak, anda telah menandatangani suatu suratcara yang dipanggil Power of Attorney atau dalam Bahasa Malaysia, Surat Kuasa Wakil.

Dokumen ini selalunya digunakan oleh pihak pemberi pinjaman, seperti bank, untuk memberikan kuasa kepada bank sekiranya penerima pinjaman tidak melaksanakan terma dalam perjanjian, termasuklah tidak menukar nama apabila geran telah keluar, tidak menyelenggara rumah dan terutamanya sekiranya peminjam tidak membayar bayaran bulanan. Apabila berlakunya perkara tersebut, bank ada hak melalui Power of Attorney yang ditandatangani peminjam, untuk melakukan tindakan seperti ambil insurans, selenggara rumah dan tanda tangan suratcara tanah bagi pihak peminjam/ pemilik. Ini termasuklah juga melelong rumah untuk dapatkan kembali wang dipinjamkan dan tanda tangan suratcara tanah bagi pihak peminjam/ pemilik untuk pindahmilik rumah kepada pembida berjaya.

Namun, tahukah anda? anda juga boleh menyediakan dan menggunakan Power of Attorney ini untuk urusan-urusan peribadi anda.

CONTOH

  • Anda tinggal di luar negara dan perlukan seseorang untuk menguruskan urusan di Bank, Pejabat Tanah, Majlis Perbandaran dan lain-lain.
  • Anda tinggal jauh dan perlukan seseorang untuk uruskan urusan penyewaan rumah anda di Malaysia.
  • Anda dan 10 lagi ahli keluarga memiliki sebuah tanah dan semua berhasrat untuk menjual tanah tersebut. Untuk memudahkan proses, kesemua pemilik boleh melantik seorang untuk menandatangani dokumen dan suratcara pindahmilik bagi pihak.
  • Anda ingin memajukan tanah anda tanpa mahu ambil tahu komplikasi pemajuan tanah. Anda boleh beri kuasa kepada pemaju untuk uruskan bagi pihak, termasuk untuk tandatangan suratcara pindahmilik kepada pembeli-pembeli.

SEBELUM ITU, APAKAH ITU SURAT KUASA WAKIL ATAU “POWER OF ATTORNEY”?

 Surat Kuasa Wakil ialah dokumen undang-undang yang memberikan kuasa kepada seseorang untuk bentindak bagi pihak pemberi kuasa.

Lebih jelas ialah dimana pemberi kuasa (“Donor”) memberikan kuasa kepada penerima kuasa (“Donee”) yang dilantiknya untuk bertindak dan membuat keputusan bagi pihak pemberi kuasa dalam sesuatu perkara.

Penguatkuasaannya adalah tertakluk terutamanya kepada Akta Surat Kuasa Wakil 1949 (untuk semenanjung Malaysia) dan dibaca bersama akta-akta lain dan undang-undang kecil bergantung dengan cara penggunaan.

3 JENIS-JENIS POWER OF ATTORNEY

 Mengikut Akta Surat Kuasa Wakil 1949, ada 3 jenis kuasa yang boleh diberikan dengan ciri-ciri yang berlainan berkenaan cara pembatalan, tempoh dan balasan.

  1.  Kuasa yang boleh dibatalkan

 Ini adalah jenis Power of Attorney yang paling kurang berisiko bagi pemberi kuasa, dimana pemberi kuasa dan penerima kuasa boleh batalkan kuasa yang diberikan pada bila-bila masa secara bertulis, masing-masing melalui notis bertulis dan notis penolakan.

Power of Attorney ini juga terbatal serta merta jika pemberi atau penerima kuasa meninggal dunia atau tidak sempurna akal serta jika pemberi kuasa terima perintah penerimaan (kebankrapan).

  1. Kuasa yang tidak boleh dibatalkan dalam tempoh masa tetap

 Untuk jenis surat kuasa ini, surat kuasa yang diberikan tidak boleh dibatalkan dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam Power of Attorney melainkan kedua-dua pemberi dan penerima kuasa bersetuju untuk masing-masing membatalkan dan menolak kuasa yang diberikan.

Power of Attorney ini juga masih akan berkuatkuasa walaupun pemberi kuasa meninggal dunia, berkahwin, celaru mental, tidak sempurna akal dan bankrap, selagi mana masa yang ditetapkan masih berjalan.

Pemberi kuasa hendaklah berhati-hati apabila memberi Power of Attorney jenis ini kerana tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan pemberian kuasa tanpa persetujuan penerima kuasa. 

  1. Kuasa yang tidak boleh dibatalkan

Power of Attorney ini melibatkan balasan yang bernilai kepada pokok kuasa yang diberikan. Ini adalah surat kuasa adalah yang paling berisiko dan keras, dimana kuasa yang diberikan tidak boleh dibatalkan sampai bila-bila hinggalah kedua-dua pihak setuju. Ini adalah supaya dapat menjaga hak penerima kuasa yang telah memberikan balasan berharga untuk mendapatkan kuasa yang diberikan.

Power of Attorney ini juga masih akan berkuatkuasa walaupun pemberi kuasa meninggal dunia, berkahwin, celaru mental, tidak sempurna akal dan bankrap hinggalah kedua-dua pihak bersetuju untuk membatalkan dan menolak kuasa.

Jenis kuasa ini hendaklah diberikan dalam tahap waspada yang tinggi kerana amatlah berisiko sekiranya penerima kuasa mempunyai niat yang tidak baik sehingga menyebabkan pokok kuasanya terjual/ tergadai.

KANDUNGAN POWER OF ATTORNEY
  • Maklumat Pemberi kuasa
  • Secara jelas nyatakan siapa yang dilantik sebagai Penerima kuasa
  • Kuasa yang diberikan dan skop kuasa diberikan
  • Tempoh kuasa
  • Pokok kuasa
  • Apa kuasa yang diberikan
  • Jenis Kuasa yang diberikan
  • Ditandatangani pemberi kuasa dan disahkan oleh orang yang berkelayakan.

Tips: Pastikan Power of Attorney disediakan dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris. Selain daripada 2 bahasa tersebut, Power of Attorney perlu diterjemahkan oleh penterjermah yang berkelayakan dan disahkan dengan akuan berkanun.

 

SETELAH POWER OF ATTORNEY DISEDIAKAN, UNTUK MEMASTIKAN TIADA MASALAH UNTUK IA DIGUNAPAKAI, PIHAK-PIHAK HENDAKLAH MEMASTIKAN:-
  1. Orang-orang yang sah dan berkelayakan sahaja yang boleh menyaksikan dan mengesahkan Power of Attorney tersebut. Orang-orang tersebut ialah :–
  • Jika di Semenanjung Malaysia:
    • Majistret,
    • Jaksa Pendamai,
    • Pentadbir Tanah,
    • Notari Awam,
    • Persuruhjaya Sumpah,
    • Peguambela dan Peguamcara,
    • Pegawai perniagaan bank.
  • Jika di luar Malaysia:-
    • Notari Awam,
    • Pesuruhjaya Sumpah,
    • Hakim, Majistret,
    • Kosul / Naib Konsul British,
    • Wakil Queen of Britain,
    • Pegawai Konsular Malaysia,
    • Pesuruhjaya Ziarah Malaysia (Arab Saudi),
    • Peguambela dan Peguamcara (Singapura),
    • Pegawai perniagaan Bank (Singapura).

2. Power of Attorney hendaklah disahkan mengikut format disediakan di dalam Akta Surat Kuasa Wakil 1949.

3. Power of Attorney hendaklah disetem di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

4. Power of Attorney hendaklah difailkan sesalinan untuk Simpanan Mahkmah Tinggi Malaya.

ANDA CURIGA ATAU TIADA LAGI KEGUNAAN PADA POWER OF ATTORNEY TERSEBUT. BAGAIMANA NAK BATALKAN?
  1.  Pemberi kuasa/ Penerima Kuasa hendaklah failkan notis pembatalan atau notis penolakan di Mahkamah Tinggi
  2. Sekiranya ini melibatkan Power of Attorney boleh batal, Power of Attorney batal dengan sendirinya bila berlakunya Pemberi kuasa/ penerima kuasa:
    • Meninggal dunia
    • Tidak sempuna akal
    • Pemberi kuasa dihakimi sbg tidak sempurna akal
    • Pemberi terima perintah penerimaan (Kebankrapan)

Tips: –    Notis pembatalan atau notis penolakan hendaklah difailkan di Mahkamah di mana Surat Kuasa Wakil itu didaftarkan. 

APAKAH KOS-KOS UNTUK PENYEDIAAN POWER OF ATTORNEY?
  1.  Kos penyeteman di Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (taksiran bergantung kepada jenis kuasa yang diberikan dan balasan).
  2. Kos Pemfailan pendaftaran Power of Attorney di Pejabat Tanah (jika melibatkan urusan di Pejabat Tanah) – kos berbeza bagi setiap penjabat tanah.
  3. Kos Pemfailan pendaftaran dan pembatalan Power of Attorney di Mahkamah:-

Fi Pemfailan Power of Attorney di Mahkamah Tinggi

    • Pendaftaran: RM25.00
    • Deposit: RM10.00
    • Fi setiap mukasurat: RM2.00

 Fi Pembatalan (pastikan hanya di Mahkamah Power of Attorney difailkan)

  • Pendaftaran: RM10.00
  • Fi setiap mukasurat: RM2.00
BAGAIMANA KALAU SAYA TIDAK JUMPA/HILANG POWER OF ATTORNEY YANG SAYA BUAT UNTUK SAYA GUNAKAN ATAU BATALKAN? 

Jangan risau. anda boleh buat carian dan buat salinan di Mahkamah di mana Surat Kuasa Wakil tersebut di daftarkan. Kos untuk carian dan buat salinan adalah seperti berikut: –

  1. Fi untuk carian:-
     – Pendaftaran: RM2.00
     – Pengesahan bertulis oleh Mahkamah: RM10.00
  2. Fi untuk buat salinan:-
     – Pendaftaran: RM10.00
     – Fi salinan setiap mukasurat yang dicetak Mahkamah: RM2.00
  3. Fi salinan setiap mukasurat yang dicetak Pemohon: RM1.00

*Fi dinyatakan tertakluk kepada perubahan dimaklumkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Jadi, sekarang anda tahu, bukan sahaja bank, syarikat atau badan-badan berkuasa sahaja yang boleh menggunapakai Surat Kuasa Wakil. Anda dan orang-orang awam juga boleh menggunapakai mengikut kesesuaian, kemudahan dan tujuan masing-masing. Namun, ingat!

Pastikan :-
  •  Teliti jenis-jenis Surat Kuasa Wakil dan pakai mengikut kesesuaian tujuan anda.
  •  Pastikan syarat-syarat penyediaan dipatuhi untuk memastikan kesahan dan kebolehpakaian Surat Kuasa Wakil yang disediakan.
  •  Pastikan anda teliti cara untuk keluar dan pembatalan sebagai persediaan sekiranya anda syak berlaku ketidak telusan mana-mana pihak.
  •  Lantik orang yang dipercayai sebagai penerima kuasa untuk mengelakkan berlaku perselisihan faham dan penyalahgunaan kuasa.
  •  Pentingnya, sekiranya anda tidak pasti, lantik peguam untuk menasihati anda berkenaan risiko dan memastikan kesahan Surat Kuasa Wakil yang anda sediakan.

Nak tahu lanjut tentang Surat Kuasa Wakil? Kami di Jamaliyah Hidayah & Co bersedia membantu anda memahami proses ini dan memastikan hak anda dilindungi sepenuhnya. Jangan buat keputusan tanpa nasihat yang betul – hubungi kami untuk konsultasi guaman yang telus dan profesional.

 

  • Penulis : Cik Fathiah Binti Khadizan
  • Editor : Cik Tim

Related