KETAHUI KAITAN BAWAH UMUR (BAWAH 18) DAN KUASA PEMEGANG AMANAH

bawah umur jual hartanah

BAWAH UMUR DAN KAITANNYA DENGAN PEMEGANG KUASA – SATU KISAH SEBENAR

Ini kisah Liza Murad (bukan nama sebenar). Wanita yang paling bahagia di dunia. Cukup segalanya. Suami yang kacak muda belia, rumah yang besar bagaikan istana, kereta mewah yang meluncur dengan lajunya serta anak lelaki kecil yang comel tiada taranya. Sebut sahaja nak apa. Pasti akan terlaksana.

Namun semuanya telah berubah. Puan Liza Murad melangkah masuk ke pejabat kami dengan wajah yang sugul dan tiada seri. Kemalangan maut telah meragut nyawa suaminya yang tercinta. Semuanya hilang sekelip mata. Hanya anak lelaki yang masih bersama.

“Boleh ke saya nak jual rumah ni?”

“Pembahagian pusaka suami saya dah selesai. Saya pemilik rumah ni sekarang”

“Tapi saya juga pemegang amanah bagi anak saya yang masih kecil”

“Wang Simpanan makin susut”

“Anak saya perlu ke sekolah”

“Anak saya perlu makan”

“Gaji RM1700 dengan rumah yang besar mcm ni”

“Saya tak mampu”

“Boleh ke saya nak jual rumah ni?”

“Macam mana saya nak jual rumah ni?”

Bertubi-tubi soalan Puan Liza Murad.

Pernah dengar kisah yang seperti ini? Kami kongsi lanjut dengan anda.

PENGENALAN

Dalam undang-undang Malaysia, mereka yang di bawah umur (minor) tidak mempunyai kapasiti undang-undang penuh untuk mengurus atau melupuskan harta, termasuk hartanah.

SIAPAKAH YANG DI BAWAH UMUR (MINOR)?

Umur dewasa (age of majority) di Malaysia secara rasminya ialah 18 tahun, menurut Akta Umur Dewasa 1971 (Akta 21). Individu yang mencapai umur 18 tahun dianggap matang secara sah untuk menandatangani kontrak, mengundi, memiliki harta, dan bertanggungjawab atas tindakan sendiri. Akta ini terpakai untuk semua warganegara Malaysia, dengan beberapa pengecualian khusus.

Di bawah Seksyen 11 Akta Kontrak 1950, hanya mereka yang berumur 18 tahun ke atas kompeten untuk membuat kontrak.

Oleh itu, hartanah yang dimiliki oleh seorang di bawah umur (minor) lazimnya dipegang dan diuruskan oleh seorang pemegang amanah (trustee) atau penjaga (guardian). Isu yang sering timbul ialah sama ada pemegang amanah mempunyai kuasa untuk menjual hartanah tersebut, dan jika ya, dalam keadaan bagaimana kuasa itu boleh dilaksanakan.

Panjang sangat nak baca? Nah! Lihat video ini  👇

@peguamkakjem

Bolehkah individu bawah umur 18 tahun memiliki hartanah? Bolehkah pindah milik kepada anak-anak sebelum umur 18 tahun? #hartanah #peguamtiktok #peguammalaysia #peguamhartanah #peguamkakjem

♬ vlog cool serious hip hop(1223551) – SKUNK

PELANTIKAN PEMEGANG AMANAH BAGI ORANG BAWAH UMUR

Secara amnya, perlantikan Pemegang Amanah ini boleh berlaku dalam beberapa situasi antaranya:

  • Penerima hartanah adalah masih di bawah umur yang mana dia boleh memilik hartanah atas nama sendiri
  • Penerima merupakan orang kurang upaya yang mana dia tidak mampu menguruskan ase dan harta mereka sendiri
  • Pembahagian pusaka yang mana pemilik hartanah telah meninggal dunia dan hartanah masih dalam proses perundangan

Secara khususnya pula dalam topik perbincangan ini, ialah pelantikan pemegang Amanah bagi orang bawah umur. Ianya boleh berlaku dalam dua (2) keadaan; iaitu (1) semasa pemilik harta masih hidup; atau (2) selepas pemilik harta meninggal dunia.

1️⃣Ketika pemilik harta masih hidup

Pemilik harta ingin menghibahkan hartanya kepada seorang yang berumur bawah 18 tahun. Maka Pemilik harta tersebut boleh melantik seorang Pemegang Amanah untuk melaksanakan tanggungjawab memindahkan harta tersebut kepada penerima apabila telah mencapai umur 18 tahun.

2️⃣Ketika Pemilik Harta telah meninggal dunia

Seorang pemilik harta telah meninggal dunia dan meninggalkan waris yang belum cukup umur 18 tahun, maka pihak mahkamah mempunyai kuasa mengarahkan waris-waris lain untuk melantik seorang pemegang amanah bagi tujuan menjaga kepentingan kanak-kanak tersebut ke atas harta pusaka miliknya. Apabila kanak-kanak itu mencapai umur 18 tahun, maka harta itu akan dipindahkan kepadanya secara rasmi dan sah menurut undang-undang negara.

PERANAN DAN KUASA PEMEGANG AMANAH BAGI ORANG BAWAH UMUR

Pemegang amanah bertanggungjawab untuk:
  • Memegang harta bagi pihak bawah umur (minor)
  • Mengurus harta dengan niat baik (fiduciary duty)
  • Bertindak demi kepentingan terbaik orang bawah umur (minor)
  • Menjadi perantara antara waris-waris dan pihak ketiga seperti pejabat tanah, bank atau peguam sekiranya perlu
  • Melaporkan kepada waris-waris atau mana-mana pihak berkepentingan mengenai status pemilikan atau tindakan yang telah diambil
Secara prinsipnya, pemegang amanah tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menjual hartanah milik orang bawah umur (minor) kecuali:

👉🏻 Kuasa tersebut dinyatakan dengan jelas dalam dokumen amanah, wasiat, atau surat pelantikan;

atau

👉🏻 Penjualan tersebut dibenarkan oleh mahkamah.

KEPERLUAN KEBENARAN MAHKAMAH

Di Malaysia, penjualan hartanah milik bawah umur (minor) biasanya memerlukan perintah mahkamah, khususnya di bawah prinsip yang diguna pakai melalui:-

  • Akta Pemegang Amanah 1949;
  • Kaedah-Kaedah Mahkamah, 2012

Mahkamah akan menilai beberapa faktor sebelum mengeluarkan suatu perintah jualan dan tanpa kebenaran mahkamah, penjualan tersebut boleh dicabar dan berisiko dibatalkan. Antara faktor-faktornya ialah:

  • Penjualan itu benar-benar perlu (contohnya untuk pendidikan, sara hidup, atau mengelakkan kerugian harta)
  • Harga jualan adalah munasabah
  • Hasil jualan dilindungi untuk manfaat minor

IMPLIKASI UNDANG-UNDANG

Sekiranya pemegang amanah menjual hartanah tanpa kebenaran atau bertentangan dengan kepentingan minor mereka boleh:-

‼️Dipertanggungjawabkan secara sivil antaranya pembatalan status pemegang amanah oleh mahkama
‼️Perintah injunksi yang menghalang sebarang tindakanlanjut terhadap hartanah tersebut
‼️Diarahkan membayar ganti rugi sekiranya berlaku kerugian atau kerosakan akibat kecualian atau salah guna kuasa
‼️Tindakan jenayah seperti pecah Amanah juga boleh dikenakan ke atas pemegang amanah

KOS PERMOHONAN PERINTAH JUALAN MAHKAMAH

Kos-kos yang terlibat untuk Pemegang Amanah membuat permohonan kebenaran Mahkamah adalah seperti berikut:

  • Bayaran guaman yang bergantung kepada firma guaman tersebut
  • Bayaran pemfailan dokumen-dokumen berkaitan di Mahkamah Tinggi
  • Bayaran-bayaran berkaitan yang lain (jika ada)

KESIMPULAN

Secara ringkasnya, pemegang amanah tidak bebas untuk menjual hartanah milik minor sesuka hati.

Kuasa tersebut hanya boleh dilaksanakan:

  • Dengan peruntukan undang-undang atau dokumen amanah yang sah; dan
  • Lazimnya dengan kelulusan mahkamah, bagi memastikan kepentingan minor dilindungi sepenuhnya.
  • Prinsip utama yang menjadi panduan mahkamah ialah kepentingan terbaik orang minor mengatasi semua pertimbangan lain.

Artikel ini dikongsikan oleh Jamaliyah Hidayah & Co bagi tujuan perbincangan dan rujukan akademik sahaja, dan bukan merupakan nasihat guaman khusus.  Bagi situasi sebenar, anda digalakkan mendapatkan nasihat guaman yang bersesuaian berdasarkan fakta dan keadaan kes masing-masing. Hubungi kami untuk mendapatkan nasihat lanjut.

Related